Selasa, 5 November 2013

Rungkup Berpotensi Jadi Destinasi Pelancongan, Pusat Industri Di Perak


Rakyat di kawasan Rungkup dan sekitarnya dijangka menikmati lebih banyak pembangunan berdasarkan kepada perancangan yang ingin dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya, berkata sebelum ini, sebuah syarikat mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk menambak persisiran pantai seluas kira-kira 1,200 hektar untuk dibangunkan sebagai pelabuhan dan pusat industri berasaskan besi dan keluli selain minyak dan gas.
Selain itu, beliau bersama Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi katanya, berhasrat untuk mempromosikan kawasan Rungkup sebagai destinasi pelancongan menarik di Perak.
Jelasnya, ramai tidak mengetahui jarak ke Pulau Sembilan, destinasi memancing popular di negeri ini adalah jauh lebih dekat dari Bagan Datoh berbanding Lumut.
Agenda pembangunan di kawasan Rungkup akan diteruskan dan saya akan berusaha sedaya upaya untuk membangunkan kawasan ini dengan gandingan Ahli Parlimen Bagan Datoh.
“Salah satu agenda besar yang dirancang ialah pembangunan Perak Techno Park di kawasan Rungkup yang mana sebuah syarikat mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk menambak persisiran pantai di Rungkup seluas kira-kira 1,200 hektar untuk dibangunkan sebagai pelabuhan dan pusat industri berasaskan besi dan keluli atau minyak dan gas,” katanya kepada Peraktoday.com.
Dalam perkembangan berkaitan, promosi produk homestay yang memberi peluang kepada pelancong merasai pengalaman sebenar tinggal di rumah kampung katanya, akan digiatkan dari semasa ke semasa.
Selain homestay, Beting Beras Basah juga berpotensi untuk dipromosikan sebagai produk pelancongan di kawasan Rungkup, tegas Shahrul Zaman lagi.
Menyentuh bidang pertanian pula, beliau katanya, akan bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk tempatan yang kebanyakannya terbabit dalam sektor pertanian.
Golongan petani juga katanya, perlu mempelbagaikan hasil keluaran pertanian walaupun hanya mengusahakan tanah yang terhad.
“Walaupun memiliki tanah yang terhad, hasil keluaran pertanian boleh dipelbagaikan contohnya dengan mengusahakan ternakan atau disulam dengan tanaman lain,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Translate