Sabtu, 15 September 2012

MALAIKAT TIDAK MASUK DALAM KENDERAAN YANG ADA PATUNG



MALAIKAT TIDAK MASUK DALAM KENDERAAN YANG ADA PATUNG | Tidak kira di mana sahaja, setiap masa dan tempat kita memohon supaya sentiasa di beri perlindungan dan keberkatan oleh Allah yang Maha Esa, sama ada di rumah, pejabat, kenderan dan sebagainya.
Ini kerana apabila sentiasa di bawah keberkatan Allah s.w.t, kita akan sentiasa dalam keadaan selamat dan sejahtera. Bagi mendapatkan keberkatan ini, Islam telah mengajar umat Islam untuk sentiasa melazimi berzikir, berdoa dan membaca al-Quran .

Namun begitu terdapat sebuah hadis yang memberitakan bahawa sesebuah rumah tidak akan dimasuki oleh malaikat jika terdapat anjing dan patung. Abu Talhah al-Ansari, ia berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Malaikat tidak akan masuk rumah yang di dalamnya ada anjing dan patung
(Riwayat Muslim)
Menurut ulamak, patung yang dimaksudkan ialah patung yang diletak atau digantung untuk tujuan perhiasan. Jika patung tersebut untuk dijadikan permainan maka ia dibolehkan. Perbuatan menggantung patung (berbentuk haiwan atau manusia) adalah menyerupai perbuatan agama lain yang menjadikan patung ini sebagai objek sembahan dan alat tawasul untuk memohon permintaan. Oleh sebab itu, bagi mengelakkan melakukan unsur-unsur syirik dan juga penghalang daripada malaikat rahmat masuk kedalam sesebuah tempat (malaikat maut tetap masuk), maka semua patung-patung yang dijadikan perhiasan tersebut perlu dibuang atau menjadi alat permainan sahaja.
Pada masa kini, kita dapati banyak patung sama ada kecil ataupun besar yang di letak dan di gantung untuk tujuan perhiasan seperti di dalam rumah dan meja pejabat dan sebagainya. Pelbagai istilah dan nama yang diberikan kepada patung-patung ini, seperti bear, hello kitti, dan seumpamanya. Begitu juga tidak ketinggalan, patung-patung ini di gantung di cermin-cermin kereta sebagai perhiasan, yang beranggapan kereta lebih nampak menarik dan anggun. Tetapi sedarkah kita, jika merujuk hadis di atas, malaikat rahmat tidak akan masuk kereta, sebaliknya syaitan yang mengambil tempat malaikat tersebut. Mungkin kerana malaikat tidak masuk kenderaan, seterusnya tiada keberkatan daripada Allah s.w.t maka banyak berlaku kemalangan di jalan raya. Wallahu a’lam.

DOA KHUSUS ELAK DIROGOL DAN CABUL


DOA KHUSUS ELAK DIROGOL DAN CABUL | Terdapat beberapa pertanyaan tentang doa yang khusus bagi kaum wanita samada dewasa dan kanak-kanak untuk mengelakkan mereka dari terperangkap dalam situasi yang boleh membawa kepada rogol, pencabulan dan lebih dahsyat lagi deraan seks yang diakhiri dengan pembunuhan.
Maka di sini, selain doa dari hadis sohih pelindung setiap kali keluar rumah yang telah saya paparkan di artikel berkenaan Al-Marhumah Nurin Jazlin sebelum ini. Iaitu :-
رَسُولَ اللَّهِ يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ
DALAM sebutan rumi : BISMILLAH ALLAZI LA YADURRU MA’ASMIHI SYAIUN FIL ARDI WA LA FIS SAMAIE , WAHUWAS SAMI’UL ‘ALIM

Ertinya : Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa : “Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui” sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya” ( Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan – Teks doa berwarna Merah Syeikh Syuaib ; Hasan)
Ingin saya utarakan satu lagi doa sohih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim a.s (iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para lelaki zalim termasuk rajanya melarikan diri, saya sertakan sekali sumber rujukannya dari hadis Nabi s.a.w.
اللّهُمَّ اِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ اني آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فرجي إِلاَّ على زوجي فَلاَ تُسَلِّطْ عَلَىَّ الْكَافِرَ
DALAM SEBUTAN RUMI : ALLAHUMMA IN KUNTA TA’LAMU INNI AAMANTU BIKA, WA BIRASULIKA WA AHSONTU FARJI ILLA ‘ALA ZAWJI FALA TUSALLIT ‘ALAYYA AL-KAFIR WA AZ-ZALIM
Ertinya : Ya Allah, jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada Mu dan Rasul Mu, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim” ( Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih )
Semoga ia dapat dihafaz dan di amalkan oleh semua wanita Muslimah, Cuma jangan lupa bahawa doa ini bersoifat tawassul dengan amal soleh anda, iaitu apabila diikat dengan imannya dengan Allah s.w.t dan RasulNya dan telah dijaga kehormatannya dan sudah tentu auratnya.
Justeru, seolah-olah kemaqbulan doa ini juga diikat tentang kewajiban untuk beriman dengan Allah dan rasulNya dan menutup aurat anda. Tanpanya, doa ini masih amat digalakkan untuk dilakukan, cuma jaminan seolah-olah lebih pasti bagi yang apa yang dikatanya (dalam doa ini) menepati apa yang sebenarnya penampilan fizikal anda.
Justeru, jika berbaju kebaya terbelah, baju sendat menampakkan susuk tubuh, berpakaian nipis seolah telanjang, bersolek canggih seperti artis bukan Islam..sudah tentu doa ini sahaja belum cukup mampu menjaga anda. Bukan kerana Allah s.w.t tidak mampu, tetapi Allah s.w.t tidak anggap wanita itu layak dek kerana kedegilannya sendiri.
Fikirkanlah.

Biodata Idola Seluruh Manusia- Nabi Muhammad S.A.W



Biodata Idola Seluruh Manusia- Nabi Muhammad S.A.W

Tidak dapat dinafikan, Rasulullah SAW atau nama sebenarnya Muhammad bin Abdullah merupakan seorang manusia yang paling layak untuk dijadikan idola paling unggul di dalam sejarah kehidupan manusia.
Dilahirkan pada pada subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masihi, baginda Rasulullah SAW merupakan insan sempurna yang diiktiraf oleh para sarjana dunia sebagai pemimpin paling berpengaruh dan tiada tolok bandingnya sehingga kini.
Ketika berusia lima tahun, dada Muhammad SAW telah ‘dibedah’ oleh dua malaikat suruhan Allah SWT untuk membersihkan baginda dari sifat-sifat mazmumah atau pengaruh-pengaruh negatif yang ada pada dirinya.
Bapa baginda, Abdullah bin Abdul Muttalib telah meninggal dunia sebelum baginda dilahirkan dan ibunya Aminah binti Wahab pula wafat ketika baginda berumur 6 tahun yang kemudiannya meletakkannya dibawah jagaan datuknya, Abdul Muttalib bin Hashim.
Setelah datuknya meninggal dunia dua tahun kemudian, Muhammad SAW dipelihara oleh bapa saudaranya, Abu Talib bin Abdul Muttalib, sehingga dewasa.
Muhammad SAW digelar sebagai Al-Amin yang mencerminkan ketinggian intergiti dan akauntabilitinya sebagai individu yang paling dipercayai di kalangan masyarakat Makkah Al-Mukarramah.
Berikut adalah biodata Rasulullah SAW, insan idola bagi seluruh manusia sehingga ke akhir zaman;
Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luway bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrakah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’add bin Adnan. (Bani Hashim)
Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luway bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrakah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’add bin Adnan.
Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Abdul Manaf bin Zahrah bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luway bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrakah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’add bin Adnan.
Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
Tarikh wafat : Hari Isnin, 12 Rabiulawal, tahun 11 Hijrah bersamaan 8 Jun, tahun 632 Masihi.
Tempat wafat : Madinah Al-Munawwarah.
Usia ketika wafat : 63 tahun.
Nama isteri-isteri :
1. Khadijah Binti Khuwailid.
2. Saudah Binti Zam’ah.
3. Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
4. Hafsah binti ‘ Umar (anak Saidina ‘ Umar bin Al-Khattab).
5. Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
6. Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
7. Zainab Binti Jahsy.
8. Maimunah Binti Harith.
9. Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
10. Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘ Ummu Al-Masakin ‘ ; Ibu Orang Miskin)
*semua ummul mukminin adalah janda melainkan Sayyidatina Aisyah Binti Abu Bakar
Nama anak-anak :
1. Qasim (meninggal semasa kecil)
2. Abdullah (meninggal dunia semasa kecil)
3. Zainab (berkahwin dengan Abu Al-’As
4. Ruqaiyah (berkahwin dengan Uthman bin ‘Affan)
5. Ummi Kalthum (berkahwin dengan Uthman bin ‘Affan)
6. Fatimah Al-Zahra (berkahwin dengan ‘Ali bin Abi Talib)
7. Ibrahim (meniggal dunia semasa kecil)
Bentuk fizikal :
Baginda Rasulullah SAW digambarkan sebagai seorang yang bertubuh tegap dengan ketinggian sederhana dan berkulit kemerah-merahan. Wajahnya tampan dan berambut tidak begitu kerinting serta tidak begitu lurus, namun ikal mencecah ke bahu.
Muhammad SAW juga dikatakan memiliki sepasang mata berwarna hitam pekat, bulu mata yang lentik, bahu yang lebar dan tidak berbulu. Namun diriwayatkan bahawa bahagian dadanya berbulu dan baginda memiliki telapak tangan dan kaki yang tebal.
Riwayat juga menyatakan bahawa ketika berjalan, Rasulullah SAW seolah-olah berjalan menuruni tanah yang lanai dan ketika menoleh, baginda menoleh dengan seluruh badan. Di antar kedua-dua bahu baginda terdapat tanda kenabian.
Selain itu, Muhammad SAW juga dikatakan memiliki janggut yang bersih dan terjaga rapi, berhidung mancung, gigi yang tersusun rapi bercahaya tapi renggang sedikit di bahagian hadapan dan rambutnya dibelah tengah.
Warna kegemaran : Merah, Putih dan Hijau.
Makanan kegemaran : Kurma, Bali, Buah Tin dan Anggur.
Sukan kegemaran : Menunggang kuda, memanah dan berenang.
Peperangan yang disertai :
1. Perang Badar
2. Perang Uhud
3. Perang Bani Nadhir
4. Perang Khandak
5. Perang Bani Qurazhah
6. Perang Khaibar
7. Perang Fathu Makkah
8. Perang Hudaibiyyah
9. Perang Tabuk
Demikianlah sebahagian dari biodata ringkas Muhammad SAW, manusia terulung dan kekasih Allah SAW yang bakal memberikan syafa’at kepada umatnya pada hari kiamat kelak.
Semoga kita ummat Muhammad SAW akan terus kekal meneruskan sunnah baginda selagi hayat dikandung badan dan menjadikannya sebagai idola yang terunggul di dalam hidup kita selamanya, wallahu’alam.

Catatan Popular

Translate