Rabu, 20 November 2013

Rahsia Gaya Hidup Mewah Terbongkar

dadah


Rahsia gaya hidup seorang lelaki yang memiliki beberapa kenderaan mewah serta rumah teres bernilai kira-kira RM1.2 juta terbongkar selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dan menjual dadah sejak 10 bulan yang lalu.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Asisten Komisioner Roslan Abd Wahid, berkata rahsia itu terbongkar selepas pihaknya menahan seorang suspek berusia lingkungan lewat 30-an di Kampung Rapat, dekat Ipoh, petang Sabtu lalu.
Hasil siasatan, suspek dipercayai memiliki kenderaan mewah hasil daripada kegiatan menjual dadah di Perak antaranya sebuah kereta Mercedes Benz model CLS 50 bernilai RM170,000; kereta Toyota Caldina bernilai RM180,000 dan kereta Honda Oydssey yang berharga RM120,000, katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.
Selain itu, turut dirampas katanya, sebuah motosikal jenis Demax yang bernilai RM5,000 dan wang tunai sebanyak RM50,200.
“Tangkapan dibuat selepas kita memperolehi maklumat yang disalurkan orang ramai serta berdasarkan kepada siasatan dan pemantauan yang berterusan.
“Maklumat diperolehi pada akhir tahun tahun lepas dan mula dikumpulkan tahun ini berkaitan kegiatan memasak dadah iaitu ‘small kitchen lab’ di kawasan Gunung Semanggol,” ujarnya.
Tambahnya, kes ini unik kerana suspek bertindak berseorangan dan modus operandi yang digunakannya iaitu kerap bertukar lokasi memproses dadah dan kenderaannya hingga menyukarkan pihak polis mengesan kegiatan itu.
“Pada pertengahan tahun ini, serbuan telah dibuat terhadap satu unit apartment di Gunung Semanggol yang mana kita menjumpai barang-barang yang digunakan untuk memproses dadah,” katanya lagi.
“Suspek mengaku bersalah memproses dadah tersebut dua kali sebulan dan pada satu-satu masa suspek memproses 20 paun heroin yang bernilai hampir RM200,000,” kata Roslan lagi.
Tambahnya lagi, suspek tidak mengambil dadah dan objektifnya adalah sekadar untuk mengaut keuntungan sahaja.
Difahamkan juga pelanggan suspek merupakan individu luar dari negeri Perak dan dipercayai menjalankan operasi pengedaran dadah di luar negeri itu juga.
Dalam perkembangan berkaitan, Roslan memberitahu pada tahun ini, seramai 1,359 pengedar dadah telah berjaya ditangkap dan didakwa di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala sebanyak 8,274 orang lagi berjaya ditangkap bagi kes memiliki dadah dan heroin.
“Dalam konteks KPI, kita telah mencapai sasaran dan Perak berada di tangga pertama di Malaysia dalam konteks tangkapan berkenaan kes dadah,” katanya.
IPK Perak juga katanya, telah berjaya menyelesaikan 80 peratus kes yang berkaitan dengan pertuduhan pengedaran dan memiliki dadah pada peringkat penghakiman di negeri Perak sahaja.
Roslan turut menggesa orang ramai supaya memberi kerjasama dan kepercayaan kepada pihak polis bagi memerangi elemen pengedaran dadah di Perak khususnya.
Jelasnya, untuk memerangi isu dadah terdapat empat elemen yang diberi penekanan iaitu pencegahan, penguatkuasaan, rawatan dan kerjasama yang diperlukan daripada semua pihak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Translate