Rabu, 6 November 2013

Pindah terminal bas, solusi sedang diusahakan


Dr Zambry Abdul Kadir

IPOH - Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) akan mencari penyelesaian terbaik bagi menangani masalah dihadapi pengusaha bas ekspres berikutan perpindahan operasi ke Terminal Amanjaya di Meru Raya.
   
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata masalah yang dihadapi para pengusaha bas ekspres itu telah dibincangkan dengan wakil SPAD yang mengadakan pertemuan dengannya baru-baru ini.
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini berhubung kenyataan Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar bahawa suruhanjaya akan memberi masa kepada pengusaha bas untuk memikirkan perkara itu sebelum berpindah.
   
Ia berikutan sekumpulan pengusaha bas yang berpindah ke Terminal Amanjaya menyuarakan rasa tidak puas hati kepada SPAD memandangkan ada beberapa pengusaha masih beroperasi di tempat lama walaupun arahan perpindahan dikuat kuasa pada 29 Julai lepas.
   
"Pengusaha bas yang enggan berpindah ini disebabkan mereka telah beroperasi di tempat mereka sejak berpuluh tahun, pengusaha ini juga membantu untuk mencari penyelesaian supaya Terminal Amanjaya boleh menjadi pusat operasi perkhidmatan," kata Zambry.
 
Selain itu, Menteri Besar berkata pengusaha bas ekspres yang berpindah ke Terminal Amanjaya menghadapi masalah mendapatkan pelanggan kerana jarak antara bandar raya Ipoh dengan terminal baharu agak jauh.
   
Zambry berkata antara langkah yang dipertimbangkan bagi mengatasi masalah itu ialah menyediakan pengangkutan percuma antara kedua-dua tempat itu.
   
Katanya kerajaan negeri juga akan berusaha menyelesaikan masalah peniaga di terminal baharu itu yang mengadu berdepan kesulitan berikutan kurangnya pelanggan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Translate