Kuala Lumpur: Syarikat kawalan keselamatan yang dibatalkan lesen selepas seorang pengawalnya merompak dan menembak mati kakitangan Ambank di Subang Jaya mendakwa mematuhi prosedur berhubung permit membawa dan menggunakan senjata api kakitangan itu. 

Bekas pengurus kanan Syarikat Kawalan Prima Sdn Bhd yang enggan namanya disiarkan berkata pihaknya mengikut prosedur dan mendapat kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 
Katanya, syarikat mendapat kelulusan bagi Surat Kebenaran Membawa dan Menggunakan Senjata dan Peluru bertarikh 26 Ogos lalu atas nama pengawal berkenaan, Ardi Hamza. 


“Berdasarkan kelulusan buku berkenaan, kami yakin proses tapisan keselamatan dibuat PDRM dan sekali gus mengesahkan bahawa syarikat mematuhi kehendak Seksyen 9(1) Akta Agensi Persendirian 1971 dan peraturan berkaitan perkhidmatan kawalan keselamatan. 


Tiada hak tentu Mykad 

“Syarikat kami tiada hak untuk menentukan ketulenan Mykad dan biometrik, malah pengawal itu boleh membuka akaun bank tempatan untuk menerima gaji bulanan. Permohonan akaun bank tempatan mesti menggunakan Mykad sah,” katanya kepada BH semalam. 
Malah, katanya, pengambilan pengawal keselamatan berkenaan juga berdasarkan pengesahan dua majikan terdahulunya dengan salinannya dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri. 


Belum batal 

“Berdasarkan maklumat diperoleh menerusi sistem, lelaki itu masih belum dibatalkan oleh kedua-dua syarikat itu ketika permohonan tapisan keselamatan dikemukakan pada awal Julai lalu dan bukan pada 24 Oktober seperti dilaporkan,” katanya. 

Justeru, katanya, syarikat tidak wajar dijadikan ‘kambing hitam’ kerana kesalahan jenayah seorang pengawal keselamatan terbabit. 

“Begitu juga memiliki lesen (senjata api) sah dan Mykad palsu adalah dua kes berbeza. Sudah ada lesen bermakna semua prosedur dan tapisan telah dilalui dan diluluskan,” katanya. 

Katanya, lesen senjata api pengawal keselamatan terbabit diperbaharui pada 26 Ogos lalu yang membenarkan dia membawa dan menggunakan sepucuk pistol dan sembilan pump gun yang berlainan nombor siri. 

Beliau mendakwa sebahagian 2,000 kakitangannya adalah bekas polis dan tentera yang pernah berkhidmat lebih 20 tahun sebagai pengawal keselamatan. 

Katanya, selain menanggung kerugian lebih RM4 juta pada bulan ini, lebih 2,000 kakitangan diberhentikan kerja serta merta sejurus penarikan lesen oleh KDN, malah pihaknya terpaksa menamatkan seluruh operasi. 

Pengawal keselamatan terbabit yang melarikan diri bersama pump gun kini diburu polis berhubung kes di Ambank itu.