Sabtu, 7 Mac 2015

Pagi Besok Nak Cari Kayu..Nak Cari Kayu

Salam semua, anda pasti tak boleh lupa dialog dalam filem Nasib Si Labu Labi arahan Tan Sri P. Ramlee yang tak pernah jemu ditonton oleh kita semua. Dialog tersebut berkisah tentang Si Labi, watak di dalam filem tersebut cuba mengingati arahan tuannya Tuan Haji Bakhil yang mengarahkan beliau mencari kayu api sebagai bahan bakar pada masa itu.

Memang diketahui oleh kita semua sekitar zaman 60an mencecah ke tahun 80an, memasak menggunakan dapur kayu adalah sebahagian daripada resam kehidupan di zaman yang serba susah ketika itu. Penggunaan awal dapur yang moden pun adalah selepas terciptanya dapur minyak tanah yang memerlukan penggunaan minyak tanah (minyak gas) sebagai bahan bakarnya.

Masih saya ingat, seawal tahun 80an, rumah ibu bapa saya di Jengka menggunakan dapur minyak tanah yang sudah dikira moden ketika itu. Tetapi apabila saya pulang ke Kedah di kampung nenek ibunda saya, penggunaan dapur kayu masih berleluasa kerana ianya murah dan mudah untuk mendapatkan bekalan kayu api di sana.
 


Tapi kini di zaman milenium, peranan kayu api sudah hampir dilupakan. Dengan penggunaan dapur gas dan letrik, peranan dapur kayu api hanya tinggal dalam sejarah sahaja. Kayu api mungkin sukar dicari di zaman serba moden sekarang. Kalau pun ingin mendapatkannya, kita perlu mencarinya di tempat yang hanya khas menjualnya sahaja.

Peranan kayu api kini banyak digunakan apabila tiba musim perayaan apabila terdapat permintaan dalam usaha kita menggunakan cara klasik untuk membakar lemang contohnya. Itupun sudah banyak lemang moden kini yang direbus terlebih dahulu sebelum lakonan sahaja lemang tersebut diletak di bara api kemudiannya sebagai daya penarik jualan.

Demikianlah realiti kehidupan kini, zaman berubah dari satu yang mungkin tidak pernah kita jangkakan bahawa kayu api pada masa kini, kita perlu membelinya sebelum digunakan. Tidak akan ada lagi dialog Si Labi dalam filem Nasib Si Labu Labi, "besok pagi nak cari kayu..nak cari kayu..", sebagai bahan bakar dapur kayu, untuk memasak air mandian Tuan Haji Bakhil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Translate