Jumaat, 31 Oktober 2014

Pelaris sihir

31/10/2014
Pelaris sihir
Sesungguhnya tidak ada kekuasaan bagimu (Syaitan) terhadap hamba-hambaKu, kecuali ke atas mereka yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat” -( Al-Hijr: 42).
“Sesungguhnya Syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhannya” -( An-Nahl : 99).
“Sesiapa yang mendatangi tukang tilik dan tukang tenung ( bagi mendapatkan bantuan berkaitan ghaib), kemudian mempercayai ramalan si tukang/dukun tadi, maka ia (yang pergi berjumpa itu) telah pun kufur dengan agama Nabi Muhammad SAW ” -( Riwayat Al-Bazar & Abu Ya’la, Albani : Sohih, Ghayatul Maram, no 285).
Di zaman moden hari ini masih ramai lagi yang berani menempah tempat di Neraka dengan mengamalkan sihir untuk pelbagai tujuan dan maksud. Walaupun sudah jelas larangan Rasulullah s.a.w tentang bahaya sihir ternyata masih ada lagi yang mendapatkan khidmat bomoh.
Mereka ini terdiri dari berbagai lapisan masyarakat dan tujuan, bahkan ada juga dari kalangan artis dan ahli politik yang mendapatkan khidmat tukang-tukang sihir ini.
Ada juga yang ingin membalas dendam kepada seseorang yang tidak disukainya dengan cara ini.
Apa yang saya nak sentuh pada kali ini ialah berkenaan dengan penggunaan pelaris kedai. Di sangkakan dengan bercambahnya ilmu dan pusat-pusat pengajian Islam di masjid-masjid ,surau-surau dan forom-forum amalan khurafat ini sudah berkurangan tapi nampaknya masih rancak di negara kita malaysia.
Jika dulu amalan pelaris yang menggunakan khidmat jin khadam atau tangkal ini hanypopular di Indonesia sahaja tapi sekarang sudah merebak sampai ke Malaysia. Jadi kita sebagai pengguna harus berhati-hati dalam memilih kedai makan. Persoalannya bagaimana nak tahu kedai makan yang di syaki itu benar2 mengamalkan pelaris atau tidak.
Ini satu petua yang di ajarkan oleh seorang pengamal perubatan Islam.
Cara mudahnya nak tahu kedai itu ada pelaris (Khadam jin), baca Ayat Qursi 3 kali di luar dari kedai.
Sebaiknya semasa dalam kereta. Kemudian buka tingkap dan tiup 7x ke arah kedai. Tak perlulah tiup macam bomoh pooh kiri pooh kanan. Tiup perlahan-lahan sampai habis nafas (mcm ustaz Ismail Kamus ajar).
Sekiranya ada pelaris di kedai tersebut, “khadam” tu akan marah dan kita akan rasa seperti satu angin menerpa ke muka kita. Kalau dah macam tu, eloklah kita jangan makan dikedai tersebut.
Beberapa cara di bawah bolehlah diamalkan untuk mengelak sihir :-
1) Al-Fatihah.
2) Membaca tiga surah terakhir atau 3 Qul setiap hari.
Ia berdasarkan hadith :
Baginda S.A.W telah berkata kepadaku :
“Bacalah Qul Huwa Allahu Ahad” (al-ikhlas) dan (surah an-Nas) dan (surah al-falaq) sebanyak 3 kali ketika pagi dan petang, ia mampu mencukupkan kamu dari segala sesuatu”.
( At-Tirmidzi, Bab Doa yang disebut Ketika Ingin Tidur, no 3570 ; Sunan Abu Daud, Bab Apa Yang Dibaca Ketika Subuh, no 5072 ( Nuzhatul Muttaqin, no 1457 , 2/229 ).
Wallahuaklam.

Pengalaman bersama penoreh malam di Felda

31/10/2014
Abang Fen kali ini teringin hendak menulis mengenai pengalaman bersama penoreh malam di Felda Chuping, Perlis baru-baru ini.
Pengalaman ini amatlah bermakna bagi Abang Fen dan menjadi harapan agar pembaca juga dapat sama-sama menghayati kisah satu malam penoreh mencari sesuap nasi.
Abang Fen merasai sendiri suasana malam yang gelap gelita di kebun getah seluas beratus ekar sambil diterangi lampu suluh dikepala.
Untuk makluman pembaca, Abang Fen merasai pengalaman itu ketika menemani pasangan Azlan Yusof, 43, dan isterinya Surianaliza Abu Hassan, 37, serta seorang rakan mereka Sario Sanot, 45.
Pada pukul 11.30 malam itu, Abang Fen dibawa menaiki sebuah trak kecil yang ditarik oleh motosikal melalui lorong-lorong di antara pokok getah sejauh tujuh kilometer sebelum sampai ke destinasinya.
Melihat suasananya, Abang Fen terketar-ketar juga kerana ketakutan, tetapi demi pembaca Abang Fen tempuhinya juga.
Sudahlah malam yang gelap tanpa cahaya bulan, suasana sunyi malam dan rimbunan pokok getah serta diselang-seli bunyi cengkerik cukup menyeramkan, manakala bunyi ranting reput yang jatuh juga mendebarkan Abang Fen.
Bagi Abang Fen suasana ini terlalu asing dan sukar ditempuhi tetapi bagi penoreh malam itulah kehidupan mereka yang tidak pernah insan lain pedulikan.
Buka hanya sekadar meredah gelap malam tetapi diselimuti kabus dingin yang sejuk sambil kaki melangkah dari sebatang pokok ke pokok yang lain untuk menoreh untuk memperolehi hasilnya.
Tangan dan muka sentiasa menjadi tempat nyamuk 'mencari makan', jika dibalut susah pula hendak jalan tugas, oleh itu Abang Fen teruskan juga merasai pengalaman yang baru bermula itu.
Tanpa menghiraukan usikan nyamuk, mata sang penoreh juga liar memerhati ranting kayu sambil meninjau binatang berbisa dan bahaya, agar mereka dapat pulang dengan selamat.
Adakalanya si penoreh malam tunduk mengalihkan ranting-ranting getah yang gugur kerana menghalang laluan. Jika terpijak dan tergelincir, mereka boleh dicederakan oleh pisau toreh di tangan.
Jika direnungkan semula, keselamatan penoreh malam agak terdedah kepada bahaya dan kelekaan semasa menoreh antara musuh utama.
Dengan harga getah yang semakin menurun, penoreh juga tidaklah begitu teruja apabila melihat susu getah mengalir ke dalam cawan.
Fikiran melayang memikirkan masa depan keluarga dan kewangan untuk menempuh perbelanjaan harian.
"Cukup atau tidak perbelanjaan, tapi kerja kena buat juga, inilah punca pendapatan," bisik hati penoreh malam.
Bila guruh berdentum si penoreh mula merasa gelisah kerana titisan air hujan bakal mengalang mereka daripada terus mencari rezeki.
Bagaimanapun, ketabahan seorang ibu dalam mencari nafkah tidak pernah luntur dan itulah kekuatan Surianaliza semasa menemani suaminya.
Apa yang membuat Abang Fen merasa kagum dengan wanita itu juga ialah keberaniannya membelah malam serta ketangkasan menoreh getah di kebun milik ibunya seluas 10 ekar.
"Kami membuat dua blok iaitu blok A dan blok B untuk kebun getah ini, satu blok seluas lima ekar. Malam ini kami menoreh di blok A dan esok malam di blok B. Jadi tiap-tiap malam kami boleh menoreh.
"Setiap blok mempunyai 800 pokok dan setiap tiga hari kami akan mendapat sekilo getah dari setiap pokok. Harga getah ketika ini hanya RM2.40 sekilogram tetapi kami beruntung kerana Felda membeli pada harga RM3.00 sekilo, ujar Surianaliza.
Menemani pasangan terbabit menoreh pada malam itu sudah cukup membuatkan Abang Fen penat dan letih, apatah lagi mereka yang sentiasa membongkok pada setiap batang pokok untuk mendapatkan hasil getah sebagai punca rezeki.
Bayangkanlah saban malam penoreh terpaksa mengharungi kegelapan malam dan meredah kebun getah yang luas dan membongkok di setiap pokok yang jaraknya lebih kurang 7 atau 8 langkah sambil berdepan pelbagai bahaya.
Penoreh malam hanya akan berhenti rehat setelah satu jam menoreh dengan menjamah kopi dan roti yang dibawa sebelum menyambung tugas.
Ketika jam di tangan menunjukkan pukul 2 pagi, barulah Abang Fen dan penoreh mula melangkah masuk ke dalam trak untuk sekali lagi meredah dingin pagi dan pulang.
Bagi Abang Fen, inilah antara pengalaman yang paling istimewa sebagai penulis untuk dikongsikan dengan pembaca.
Bagi mereka yang merupakan anak kepada penoreh, hargailah jasa ibu bapa anda kerana mereka telah mengharungi pelbagai bahaya demi membesarkan anda.
Untuk pembaca lain, sama-samalah kita menghargai jasa penoreh, kerana usaha mereka kita mendapat manfaat daripada pelbagai bahan yang diperbuat daripada getah asli.

Catatan Popular

Translate