Sabtu, 7 Mac 2015

Pagi Besok Nak Cari Kayu..Nak Cari Kayu

Salam semua, anda pasti tak boleh lupa dialog dalam filem Nasib Si Labu Labi arahan Tan Sri P. Ramlee yang tak pernah jemu ditonton oleh kita semua. Dialog tersebut berkisah tentang Si Labi, watak di dalam filem tersebut cuba mengingati arahan tuannya Tuan Haji Bakhil yang mengarahkan beliau mencari kayu api sebagai bahan bakar pada masa itu.

Memang diketahui oleh kita semua sekitar zaman 60an mencecah ke tahun 80an, memasak menggunakan dapur kayu adalah sebahagian daripada resam kehidupan di zaman yang serba susah ketika itu. Penggunaan awal dapur yang moden pun adalah selepas terciptanya dapur minyak tanah yang memerlukan penggunaan minyak tanah (minyak gas) sebagai bahan bakarnya.

Masih saya ingat, seawal tahun 80an, rumah ibu bapa saya di Jengka menggunakan dapur minyak tanah yang sudah dikira moden ketika itu. Tetapi apabila saya pulang ke Kedah di kampung nenek ibunda saya, penggunaan dapur kayu masih berleluasa kerana ianya murah dan mudah untuk mendapatkan bekalan kayu api di sana.
 


Tapi kini di zaman milenium, peranan kayu api sudah hampir dilupakan. Dengan penggunaan dapur gas dan letrik, peranan dapur kayu api hanya tinggal dalam sejarah sahaja. Kayu api mungkin sukar dicari di zaman serba moden sekarang. Kalau pun ingin mendapatkannya, kita perlu mencarinya di tempat yang hanya khas menjualnya sahaja.

Peranan kayu api kini banyak digunakan apabila tiba musim perayaan apabila terdapat permintaan dalam usaha kita menggunakan cara klasik untuk membakar lemang contohnya. Itupun sudah banyak lemang moden kini yang direbus terlebih dahulu sebelum lakonan sahaja lemang tersebut diletak di bara api kemudiannya sebagai daya penarik jualan.

Demikianlah realiti kehidupan kini, zaman berubah dari satu yang mungkin tidak pernah kita jangkakan bahawa kayu api pada masa kini, kita perlu membelinya sebelum digunakan. Tidak akan ada lagi dialog Si Labi dalam filem Nasib Si Labu Labi, "besok pagi nak cari kayu..nak cari kayu..", sebagai bahan bakar dapur kayu, untuk memasak air mandian Tuan Haji Bakhil.

Sabtu, 28 Februari 2015

Kita mungkin dipertemukan dengan orang yang salah pada awalnya. Itu untuk mengajar kita jadi lebih dewasa.

Belajar daripada segala kesilapan dan kekurangan. Perbaiki diri untuk jadi yang terbaik.

“Jodoh itu rahsia Allah. Itu yang saya pegang, Dia temukan kita dengan orang yang salah pada mulanya, dan menemukan jodoh yang sesuai di pengakhirannya.
Kenapa? Kerana Dia sayangkan kita. Janganlah sesekali kita menjauhi Dia.”
Jadi, macam mana? Dah boleh ikhlaskan hati untuk terima segalanya.
Dah boleh redha? Atau masih terpaksa?
Dekatkan diri dengan Allah dan kita akan dapat jawapan (:

Penutup: Allah telah menetapkan kebahagiaan untuk setiap hambaNya

“Jika sesuatu itu milik kita. Sesulit apapun jalannya. Apapun rintangannya. Pasti akan jadi milik kita kerana memang untuk kita.
Tapi, jika sesuatu itu bukan milik kita. Walaupun mudah jalannya. Walaupun bersusah payah kita ingin mendapatkannya. Tidak akan pernah jadi milik kita.
Kerana memang bukan untuk kita.”
Serahkan hati ini pada Allah. InsyaAllah segalanya akan baik-baik sahaja.

Teruskan Mengayuh Untuk Mencapai Sesuatu Kebaikan Dalam Kehidupan



Untuk mencapai sesuatu kejayaan, banyak usaha yang perlu dilakukan 
Pernahkah anda mengayuh basikal semasa zaman kanak-kanak?
Aneh sekali jika ada yang mengatakan bahawa dia tidak pernah langsung menunggang basikal.
Ini kerana majoriti kanak-kanak dahulu pasti akan bermegah sekiranya memiliki sebuah basikal.
Mudah untuk dibawa kemana-mana. Bersama pula dengan rakan taulan, semakin ligat pula merantau sakan.
Mungkin ada juga yang kurang bernasib baik, tidak pernah memiliki basikal sendiri.
Saya tidak pula menafikan perkara ini. Bukan rezeki dia untuk memilikinya.
Namun, mengatakan tidak pernah kenal rupa bentuk basikal, itu penipu!
Paling aneh sekali, jika ada juga yang tak tahu rupa basikal sekali pun, mohon bertanyakan pada Mr. Google. Rasanya beliau tahu bagaimana hendak menjelaskan kepada anda. Heh!

Norma basikal dalam kehidupan

Basikal ini unik.
Kayuhan pedalnya sentiasa akan membawa kita ke hadapan. Hanya menggerakkan gagang (pemegang) basikal ke kanan atau ke kiri, dengan mudah kita akan berjaya mengepalai arah tunggangan mengikut kehendak destinasi kita.
Kayuhlah mengikut keperluan. Ada masanya kita perlu mengayuh laju, mengejar atau tidak dikejar.
Dalam kehidupan, selalunya kita diajar bersegera dalam mencanang kebaikan atau mengejar kejayaan, maka lakukan dengan pantas, agar bukan keburukan atau kegagalan yang selalu memintas.
Ada masanya pula kayuhan itu perlu perlahan, tanda berhati-hati menempuh halangan. Bukan beerti kita lambat, tetapi sabar mengatur langkah selamat.
Kelajuan kayuhan bergantung juga pada situasi apa yang anda berhadapan.
Jika di depan anda jalannya berbukit, mengayuh perlahan pasti membuatkan kita sakit. Sekiranya di depan anda jalannya landai tanpa berbukit, menunggang laju boleh membuatkan anda terbalik!
Anda sendiri yang menentukan selaju mana kayuhan basikal anda. Disinilah kebijaksanaan serta pengalaman perlu dipraktikkan.
Begitu juga aplikasinya dalam kehidupan seharian, bukan sekadar tahu sahaja, tetapi perlu mahu mengamalnya.

Putaran roda ibarat turun naik dalam kehidupan kita

Roda basikal selalunya berbentuk bulat.
Sesuai dengan fungsinya untuk bergerak dan berputar. Sekiranya roda ini berbentuk lain selain daripada bentuk asalnya, sudah pasti sifat asli serta fungsinya akan terganggu.
Putaran roda inilah yang sering disignifikasikan sebagai putaran kehidupan. Adakalanya kita akan berada di atas dan adakalanya kita akan berada di bawah.
  • Adakah baik sekiranya kita sentiasa berada di atas?
  • Adakah buruk pula sekiranya kita sentiasa berada di bawah?
Hemat saya, kedua-duanya baik. Berada di atas tiada masalah, berada di bawah pun tiada masalah.
Berada di atas tidak semestinya ampuh, kadangkala boleh tersungkur jatuh. Berada di bawah pula tidak semestinya hina, kadangkala itulah tiket untuk ke syurga.
Sebaiknya setiap posisi dan tahap keberadaan kita dalam mana-mana kedudukan sekali pun, dinilai sedalamnya akan hikmah serta kebijaksanaan yang ingin disampaikan secara tersurat oleh Allah s.w.t.
Dalam surah al-Baqarah, ayat 216, Allah berfirman;
 “Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
Jadi, masih lagi ingin merasa tidak beruntung dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan?
Terasa tiada keyakinan untuk berhadapan dengan orang ramai disebabkan kekurangan yang ada pada diri sendiri?
Ingin mendabik dada atas kejayaan yang telah dicapai dengan hasil tangan sendiri?
Mohon husnuzon dan muhasabah.
Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.

Apa yang akan terjadi sekiranya kita berhenti mengayuh basikal?

Ironinya, terdapat beberapa perkara yang berlaku sekiranya kayuhan ini berhenti.
Pertama, mungkin kita ingin berehat sebentar. Melepaskan lelah penat dahulu sebelum terus maju. Atur langkah ini adalah baik dalam strategi untuk mencapai sesuatu objektif.
Lumrah manusia, kita akan kepenatan sekiranya terus mengoptimumkan daya usaha kita tanpa henti sekaligus boleh menyebabkan produktiviti kita kian mundur dan lesu.
Nasihat saya, cari waktu rehat sekiranya anda mula merasa jemu untuk melakukan perkara baik.
Jalan kebaikan yang panjang tanpa mempunyai bekalan motivasi yang cukup, hati akan mudah luntur dan akan cepat membuatkan seseorang itu berpaling dari jalan kebaikan.
Kedua, berhenti terus tanpa ingin meneruskan perjalanan.
Mungkin akan berpatah semula ke belakang. Destinasi yang ingin dituju belum sampai, namun semangat untuk meneruskan perjalanan sudah mati. Dek kerana semput melayan karenah penat!
Inilah yang berlaku sekiranya hidup tanpa objektif, tanpa persediaan yang rapi untuk mencapai sesuatu matlamat.
Momentum jatuh dan stamina berada pada tahap yang cukup rendah.
Akhirnya, orang seperti ini memilih untuk mengalah dalam kehidupan tanpa berfikir sejenak akan hasil kejayaan yang bakal diperoleh sekiranya dia sabar menempuhnya.
Ketiga, berhenti apabila sudah sampai destinasi yang ingin dituju. Inilah orang tinggi motivasi dan merasai kenikmatan hasil daripada usahanya sendiri.
Padanya, lelah penat itu bukanlah satu penghalang tetapi satu cabaran yang perlu ditangani sebaiknya agar dapat menebusnya kembali apabila sudah berjaya mencapai objektif yang ingin dicapai.
Menjadi orang yang tinggi semangatnya perlu mempunyai hati yang cukup kental, berani dan tidak mudah tertipu dengan nikmat serta kesusahan dunia.
Namun, orang seperti ini seakan-akan sukar dicari dalam arus permodenan dunia kini.
Manusia lebih tega untuk memilih jalan mudah tanpa perlu menggunakan usaha yang banyak.
Padahal untuk mencapai sesuatu kejayaan, usaha yang kuat belum lagi dikira sebagai faktor yang ampuh dalam kriteria-kriteria untuk memperolehnya.

Akhir kalam: untuk mencapai sesuatu memerlukan semangat yang tinggi!

Persediaan yang rapi, motivasi yang tinggi, bekalan yang mencukupi, persekitaran yang mandiri, idea yang bervisi antara faktor pembantu dalam memandu seseorang itu ke arah kejayaan serta kemenangan yang ingin dicapainya.
Jadi, jangan mudah menunduk luluh, teruskanlah mengayuh!
Moga Allah bantu untuk insan yang terus mengayuh!

Ahad, 15 Februari 2015



                                                            Nur Amira Syahira

Catatan Popular

Translate