Khamis, 2 Januari 2014

Kampung Kepayang Ipoh, ramai yang terbayangkan kawasan Fair Park Ipoh dan sekitarnya.



                                                   Mesjid kampong kepayang

Sebut sahaja nama Kampung Kepayang Ipoh, ramai yang terbayangkan kawasan Fair Park Ipoh dan sekitarnya.

Manakan tidak, kampung itu sajalah yang ada di tengah-tengah bandaraya Ipoh pada dewasa ini selain Kampung Manjoi yang tidak kurang hebat popularitinya.

Kampung ini adalah antara kampung yang tertua di Ipoh yang mana dipercayai telah wujud lebih 100 tahun lamanya dan ini meletakkannya setaraf dengan Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Cuma yang membezakannya ialah Kampung Baru Kuala Lumpur telah melalui proses pembangunan, manakala Kampung Kepayang ini pula masih lagi kekal dengan status dan konsep kampung tradisi serta belum lagi dimodenkan.

Maka tidak hairanlah, suasana kehijauan serta kedamaian desa sejati menyambut setiap pengunjung yang menjengah ke kampung ini yang terletak lebih kurang 1.5km dari jalan utama Kompleks Sukan berdekatan Stadium Perak.

Kebanyakkan lot kediaman di kampung ini merupakan tanah pusaka yang diwarisi turun temurun.

Mengikut sejarah Melayu Ipoh, Kampung Kepayang dikaitkan dengan cerita Sultan Ismail yang melarikan diri ke Kampung Kepayang ketika diserang British dan orang-orang Mendailing ternama seperti Raja Uteh, Raja Asal dan Raja Mahmud.

Sultan Ismail membawa bersamanya alat-alat kebesaran pertabalan kesultanan Perak dan 20 ekor gajah dan meminta bantuan penduduk kampung untuk membantu beliau menentang orang British dan Mendailing tetapi orang Kampung Kepayang enggan membantu.

Baginda sangat kecewa kerana penduduk Kampung Kepayang telah berpaling darinya lalu bersumpah dengan memacak pedangnya ke tanah bahawa dia akan kembali memerintah negeri Perak. Baginda, Datuk Maharaja Lela, orang-orang kanan dan isteri-isterinya kemudian meredah hutan belantara ke kawasan Chemor.

Disebalik itu pula, Kampung Kepayang adalah satu kawasan penempatan orang Melayu khususnya mereka yang menetap dan bekerja di Ipoh sehinggalah hari ini.  

Pada hari ini, Kampung Kepayang boleh dikatakan satu-satunya kampung dalam bandaraya Ipoh yang masih terselamat daripada dimamah arus pembangunan.

Namun ada kebimbangan di kalangan penduduk bahawa kampung mereka tidak akan selama-lamanya selamat sekiranya tidak ada usaha dilakukan untuk menyekat sebarang pembangunan yang tidak diingini di kawasan itu.

Ketua Kampung, Mukhtar Mahmud berkata Kampung Kepayang merupakan satu-satunya kawasan yang masih dapat menepis gelombang kemodenan.

Katanya Kampung Manjoi, walaupun masih kekal sebagai penempatan Melayu tetapi tidak dapat menahan arus pembangunan yang agak hebat melanda di kawasan tersebut.

Begitu juga dengan Kampung Seri Kinta di mana pembangunan yang tidak dirancang dengan teliti menyebabkan hilangnya identiti sebagai kampung Melayu, katanya.

“Paling sedih adalah Kampung Paloh. Kita tidak mahu Kampung Kepayang menerima nasib sama seperti Kampung Paloh, iaitu satu penempatan awal Melayu di Ipoh tetapi kini sudah lenyap buat selama-lamanya,” katanya.

Menurutnya ada suatu ketika dimana terdapat ura-ura kampung itu mahu dimajukan tetapi projek tersebut tergendala selepas menerima bantahan hebat daripada penduduk.

Katanya kebanyakkan tanah di kampungnya merupakan harta pusaka yang diwarisi turun temurun daripada nenek moyang.

“Kita juga telah mendirikan sebuah masjid baru bagi menggantikan masjid lama yang dipenuhi kubur,” kataya.

Bagi generasi muda seperti Mohamad Fitri Mohd Daud, 25, beliau turut bimbang sekiranya kampung kelahirannya akan bertukar menjadi satu taman perumahan baru.

Katanya dengan lokasinya yang strategik di tengah-tengah bandaraya, Kampung Kepayang sudah tentu menarik minat ramai pemaju perumahan.

“Saya sayangkan kampung ini dan berharap pihak kerajaan akan berbuat sesuatu bagi memastikan Kampung Kepayang tetap utuh dan kekal selamannya,” katanya

Seorang penduduk asal kampung itu, Jamilah  Ahmad,63, turut melahirkan kebimbangan sama tetapi mahu kerajaan memberi perhatian kepada kemudahan infrastruktur di kampung itu.

“Memang mak cik mahu suasana kampung ini dikekalkan tetapi mahu kerajaan tengok-tengokkan sistem perparitan dan jalanraya di sini,” katanya.

Abas Yazid berkata Kampung Kepayang merupakan satu-satunya lagi kampung tadisi yang masih ada dalam kawasan Ipoh dan ia harus dipertahankan.

“Kami amat selesa dan suka tinggal di sini. Selain tinggal dalam suasana kampung, kemudahan lain sangat dekat. Malah kami juga dapat mendengar sorakan penonton ketika perlawan bola sepak atau aktiviti kemeriahan lain seperti percikan bunga api yang kebiasaannya dia adakan di kawasan Stadium Perak,” katanya.

Mengikut sejarah lama, kampung ini diduduki suku kaum Bugis yang merantau ke Tanah Melayu dan mempunyai pertalian darah dengan Melayu Deli di Medan. Ada juga yang mengatakan bahawa Toh Narawangsa telah sampai ke Teluk Anson dan datang ke Ipoh membuka kawasan Kampung Kepayang ini.

Bersebelahan Kampung Kepayang ini terletak sebuah Gunung yang dinamakan Gunung Mat Sirat. Di situ terdapat kesan batu menyerupai sepasang pengantin dan juga bunga telur seolah-olah  majlis persandingan telah diadakan dan mereka bertukar menjadi batu.

Di suatu ketika di abad ke-15, kawasan Lembah Kinta terkenal dengan isi bumi yang mengandungi bijih timah dan dikatakan Dato’ Panglima Kinta adalah orang yang bertanggungjawab menguruskan pentadbiran daerah Lembah Kinta sebelum bertukar tangan kepada penjajah Inggeris dan Kampung Kepayang merupakan penempatan Melayu yang agak terkenal ketika itu.

Sesungguhnya Kampung Kepayang ini harus dikekalkan dan dengan warisan yang ada ia harus dipopularkan sebagai kesan sejarah awal penempatan Melayu di Ipoh.

Status kampung ini sebagai kampung tradisi harus dipertahankan supaya ia tidak lenyap ditelan arus pembangunan melampau daripada pihak yang rakus membuat keuntungan tanpa memikirkan soalan warisan dan sejarah.

Ini bagi memastikan identiti, budaya dan warisan orang Melayu di tengah-tengah bandaraya Ipoh ini terus kekal untuk generasi akan datang.

3 ulasan:

  1. maklumat yang menarik dan saya bercadang untuk buat kajian lanjut ttng kg ini..tq

    BalasPadam
    Balasan
    1. 1. Artikel tentang Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh.
      https://www.orangperak.com/kampung-kepayang-penempatan-melayu-terawal-di-ipoh.html

      2. KENALI KAMPUNG KEPAYANG terbitan ASTRO AWANI
      https://www.facebook.com/astroawani/videos/470483403545838/

      3. Facebook Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh
      https://www.facebook.com/groups/kampungkepayang

      Padam
  2. Tuan..minta tolong share hasil kajian lanjut tuan ttg kg ini...terima kasih.

    BalasPadam

Catatan Popular

Translate