Sabtu, 2 November 2013

Kaum India wajar bersyukur, tidak pernah dilupakan kerajaan

Kaum India wajar bersyukur, tidak pernah dilupakan kerajaan – MAICCI

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Tan Sri K. K. Eswaran menyambut baik usaha kerajaan dalam membantu kaum India di negara ini melalui peruntukan khas kepada kaum itu pada Bajet 2014.
Menurutnya, walaupun kaum India hanya berjumlah lapan peratus daripada keseluruhan 28 juta rakyat Malaysia, tetapi kaum itu tetap mendapat banyak kelebihan seperti kaum lain dengan adil dan saksama.
“Perdana Menteri di parlimen mengucapkan terima aksih kepada kaum India kerana beliau tidak lupa kepada peranan dan sokongan kaum ketiga terbesar dari jumlah keseluruhan rakyat Malaysia ini.
“Pada Pilihan Raya Umum ke-13, kaum India menyokong Barisan Nasional dan dalam Bajet 2014, kaum India dapat banyak maanfaat untuk latihan kemahiran, sekolah Tamil dan prasekolah,” katanya pada sidang media sempena majlis rumah terbuka Deepavali anjuran MAICCI di ibu negara.
Majlis yang diadakan dengan cukup meriah dalam kesederhanaan itu, turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Eswaran turut mengingatkan kaum India dan rakyat seluruhnya agar tidak mudah terpengaruh dengan tohmahan pembangkang.
Ini kerana masa untuk berkempen seperti pilihan raya telah tamat dan kini masanya untuk membangunkan ekonomi negara.
“Melalui wawasan yang dibawa sejak kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai Wawasan 2020 dan kini disambung oleh Datuk Seri Najib, rakyat perlu meneruskan usaha membangunkan negara.
“Sekarang adalah masa untuk bekerja bukan hanya tahu berpolitik sahaja, rakyat ingin melihat pemimpin yang bekerja untuk rakyat,” katanya.
Majlis itu dihadiri kira-kira 5,000 orang tetamu.
Ia turut meraikan golongan kurang bernasib baik dari rumah anak yatim dan warga emas di sekitar ibu negara.


Turut hadir memeriahkan sambutan Deepavali ini ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Majlis bermula pada jam 10 pagi itu turut menghidangkan pelbagai persembahan kebudayaan India selain makanan tradisional kaum itu sempena Deepavali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Translate