Khamis, 26 Disember 2013

Sejarah Malim Nawar (Malim Nawar adalah sebuah pekan yang terletak di Daerah Kinta, Kawasan Parlimen Kampar, Perak.)


Malim Nawar adalah sebuah pekan yang terletak di Daerah Kinta, Kawasan Parlimen Kampar, Perak. Lokasinya berada kira-kira 40 km ke selatan bandaraya Ipoh, Perak dan kira-kira 14 km di utara bandar Kampar, menghala ke sebelah kiri dalam perjalanan dari Kampar ke Ipoh dan kira-kira 6 km dari Simpang Kuala Dipang. Sungai Kinta, di bahagian barat Malim Nawar adalah sempadan antara Tanjung Tualang dengan Malim Nawar.

Menurut cerita orang tua, nama Malim Nawar berasal daripada nama seorang bomoh yang terkenal yang bernama Alim. Pada masa itu, sesiapa sahaja yang sakit maka mereka akan berjumpa dengan bomoh Alim tersebut bagi mendapat air penawar yang dipercayai mujarab bagi menyembuhkan banyak penyakitnya. Oleh yang demikian, bomoh Alim menjadi terkenal di daerah Kinta ini, Orang ramai sering menyebut-nyebut tentang kebijaksanaan bomoh Alim dan tentang air penawarnya. Lama-kelamaan nama Alim dan penawar kemudian dicantumkan menjadi perkataan Malim Nawar yang dikenali hingga sekarang.

Selain nama Malim Nawar, pekan ini juga dikenali sebagai Sungai Kunyit. Gelaran nama ini biasanya disebut-sebut oleh masyarakat Cina. Ia terkenal dengan hasil keluaran bijih timah pada suatu masa dahulu. Dipercayai bahawa nama Sungai Kunyit adalah panggilan bagi masyarakat Cina bagi sebatang sungai yang terletak di tepi jalan raya berhampiran dengan sebuah tokong Cina. Nama Sungai Kunyit juga digunakan sebagai nama terjemahan bagi bangsa Cina untuk pekan Malim Nawar hingga kini.


Pekan Malim Nawar merupakan sebuah penempatan kampung baru bagi orang Cina, dikelilingi oleh beberapa buah kampung Melayu, Cina, India, Benggali dan sebagainya. Di sepanjang jalan menuju ke Kuala Dipang, kita akan bersua dengan Kampung Tualang Sekah, Tebing Tinggi dan Pulan Pisang. Jika kita melalui jalan pasir ke Tanjung Tualang, kita akan sempat melihat banyak bekas lombong bijih timah yang kini telah dijadikan kolam ikan serta beberapa penempatan kecil. 
Penempatan penduduk Malim Nawar boleh dibahagikan kepada 3 bahagian, iaitu pekan baru, pekan lama dan taman perumahan. Pekan baru dan pekan lama dipisahkan oleh sebatang jalan keretapi yang merupakan jalan pengangkutan laluan utama selatan. Taman-taman perumahan merupakan penempatan baru yang dimajukan sejak tahun kebelakangan ini. Taman-taman tersebut termasuklah Taman Malim Nawar, Taman Bina Jaya, Perumahan Awam.
Kampung-kampung di sekitar Malim Nawar ialah Kampung Jernih, Kuala Kampar Banglo, Kampung Baru Malim Nawar, Indian Kem, Kampung Bunga Tanjung, Kampung Changkat Belulang, Kampung Changkat Bendera, penempatan Tenaga Nasional Berhad ( TNB ), Kampung Tanjung Bangkong, Kampung Tualang Sekah, Kampung Tinggi,  Kampung Pulau Pisang, Kongsi Baru dan sebagainya.

Sekolah Tualang Sekah merupakan sekolah rendah yang tertua diadakan di Malim Nawar. Diikuti dengan Sekolah Rendah Methodist, Sekolah Kebangsaan Melayu, sekolah Tamil dan SRJK (C) Ying Sing yang ditubuhkan pada tahun 1926. Setelah kemerdekaan Tanah Melayu tercapai, sebuah sekolah menengah rendah telah ditubuhkan pada 11 Januari 1965. Sekolah ini dikenali sebagai Lower Secondary School Malim Nawar dengan pelajar-pelajar  terawal seramai 157 orang dalam 2 aliran bahasa bahasa pengantara, iaitu, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Kini, sekolah ini telah ditukar nama dan dinaikkan tarafnya kepada Sekolah Menengah Malim Nawar. Pelajarannya telah mencapai tahap tingkatan lima dalam aliran sains, sastera dan akaun. Jumlah pelajarnya telah menghampiri seribu orang buat masa kini.

Di Malim Nawar mempunyai satu tempat bersejarah yang terletak berhampiran dengan Kampung Tanjung Bangkong. Kebanyakan orang Malim Nawar mengenali tempat tersebut sebagai kubu Jepun. Kubu tersebut dibina oleh Tentera Jepun pada zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu untuk membuat senjata dan bahan letupan. Keluasan kubu Jepun ini sungguh besar. Pada masa penguasaan Jepun, kawasan sekitar Kubu dilengkapi dengan pelbagai perangkap untuk menghalang komunis mendekati kubu mereka. Selepas tahun 1945, tentera British ambil alih Tanah Melayu, tentera Jepun terpaksa tinggalkan kubu ini. Pada masa yang sama, kubu ini telah diserang dan dimusnahkan sebahagian bangunannya oleh pihak komunis dipercayai sebagai tanda membalas dendam dan rasa tidak puas hati dengan kezaliman pihak tentera Jepun. Kini, kubu Jepun telah dijadikan bukti peninggalan bersejarah bagi penduduk Malim Nawar.

Sebuah Lembaga stesen jana elektrik  telah ditubuhkan sejak kedatangan British di Malim Nawar. Lembaga Letrik Pusat (LLP) adalah nama asalnya. Kemudiannya namanya ditukar sekali lagi kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Stesen Jana elektrik terletak di atas sebidang tanah Melayu seluas 61 hektar, termasuk 36 hektar   kolam penyejuk adalah stesen janakuasa haba yang menggunakan minyak bahan api sebagai sumber asas kuasa. Buat masa sekarang, stesen janaelektrik ini telah diubahsuai sebagai workshop TNB dan Institut Pengajian Pelatih Kejuruteraan Elektrik di samping satu penempatan kakitangan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan infrastruktur.

Di sekitar Malim Nawar, boleh diperhatikan terdapat banyak bekas lombong bijih timah. Malim Nawar, dalam Daerah Kinta, terkenal dengan hasil keluar bijih timah pada suatu masa dahulu. Buat masa sekarang, lombong yang masih aktif hanya tinggal 3 buah manakala lombong yang tutup terdapat 21 buah. Ini adalah disebabkan zaman kemerosotan harga bijih timah pada tahun kebelakangan ini. Kini, kebanyakan lombong bijih timah telah diterokai untuk tujuan pembinaan tapak perumahan dan pembelaan ikan. Ini telah menjadikan Malim Nawar sebagai tempat kegemaran para pemancing ikan yang terkenal di sekitar kawasan Perak.

Keluarga saya yang tinggal di Malim Nawar.





2 ulasan:

  1. Tak betul ni... Beliau bukan seorang bomoh, beliau seorang ulama bertaraf wali Allah. Nama beliau ialah Nawar, oleh kerana beliau banyak mendidik dan mengajar masyarakat, maka orang panggil dia dgn MUALLIM NAWAR. Peristiwa beliau sembuhkan org sakit tu bukan krn beliau bomoh, tapi itu adalah Karamah beliau sebagai seorang wali Allah yg soleh.

    BalasPadam
    Balasan
    1. salam tuan...boleh x minta penjelasan lanjut tentang Syeikh Muallim Nawar.saya berminat nak tau kerana ayah saya berasal dari kawasan berdekatan kuala dipang.harap dapat balasan dari tuan, terima kasih.

      Padam

Catatan Popular

Translate