Isnin, 23 Disember 2013

Selepas Lahad Datu, 31 Disember 2013 Jadi Cubaan Untuk Gulingkan Kerajaan

sulu lahad datu

maunah-3-1



Sehingga kini, siapa tiga orang dalang dalam isu Lahad Datu tidak didedahkan biarpun sudah ada persepsi terhadap beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat, termasuklah Anwar Ibrahim sendiri menerusi kronologi perjalanan dan pertemuan yang berlangsung antara mereka dengan lanun-lanun Sulu tidak lama sebelum gerombolan lanun tersebut menyerang Lahad Datu dan Semporna. Ramai yang tahu, apa natijahnya sekiranya pendakwaan dan perbicaraan dilangsungkan. Malah ramai yang dapat melihat tali gantung tersedia sekiranya ada yang didapati bersalah atas tuduhan melancarkan peperangan terhadap DYMM Yang Di-Pertuan Agong.

Selepas tragedi Al-Maunah di Sauk, Kuala Kangsar pada tahun 2001 melibatkan sekumpulan militan dan kumpulan silat yang mahu mendirikan sebuah Kerajaan Islam menerusi pertumpahan darah dan revolusi, kebanyakan penentang kerajaan termasuklah yang paling ekstrim sekalipun, hanya berani menggunakan lidah dan tidak lagi berani menggunakan senjata.

Tragedi Sauk menyaksikan beberapa orang pengatur termasuklah ketuanya, dihukum gantung sampai mati setelah didapati bersalah atas tuduhan memerangi DYMM Yang Di-Pertuan Agong. Biarpun pada mulanya, PAS cuba menggambarkan bahawa tragedi tersebut hanyalah satu sandiwara untuk menyelamatkan kerajaan Dr. Mahathir, apatah lagi ketua kumpulan Al-Maunah, Mohamed Amin bin Mohd Razali seorang bekas anggota tentera yang telah dipecat kerana kesalahan dadah, adalah ahli PAS. Namun akhirnya, cerita SANDIWARA hilang begitu sahaja apabila fakta-fakta dibentangkan di mahkamah.

PAS tidak lagi bercerita tentang SANDIWARA, bahkan media Internet yang pada waktu itu cukup popular menyokong PAS dan gerakan Reformasi, turut tidak lagi bercerita tentang Tragedi Sauk. Kematian Mohamed Amin sendiri pun, tidak mendapat sebarang publisiti daripada PAS dan media-media Internet pro-PAS mahupun Reformasi.

Pakatan Rakyat telah menganjurkan beberapa siri demonstrasi dalam usaha menggulingkan kerajaan. Meskipun tidak menzahirkannya secara terang-terangan, namun para pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya Anwar Ibrahim dalam ucapannya yang berapi-api, menggalakkan para pendemonstrasi untuk terus merusuh dan memaksa Kerajaan yang dipilih rakyat, dibubarkan dan kuasa diserahkan kepadanya.

Menjelang PRU13 pada Mei 2013, gerakan mengapi-apikan rakyat terus dilakukan. Dan selepas Pakatan Rakyat tidak berjaya dalam cubaan menggulingkan Kerajaan UMNO-BN menerusi keputusan PRU13, sekali lagi demonstrasi besar-besaran diatur beralasankan kononnya SPR telah melakukan penipuan bagi memenangkan UMNO-BN.

Biarpun penjelasan telah dibuat berserta bukti, namun Pakatan Rakyat tampil pula dengan bukti-bukti kosong yang kemudiannya dalam berpuluh-puluh petisyen yang mereka buat, langsung tidak disebutkan tentang bukti-bukti yang mendorong kepada demonstrasi yang digelarkan sebagai Blackout 505.
505 telah gagal. Pakatan Rakyat, khususnya PKR dan Anwar Ibrahim hanya menunggu masa untuk mengatur satu lagi gerakan menggulingkan kerajaan yang sah. Yang diperlukan hanyalah alasan. Justeru apabila Kerajaan mengumumkan peningkatan harga perkhidmatan dan barang selain cukai, ia dijadikan alasan terbaik untuk PKR menerusi beberapa NGOnya seperti Jingga 13 dan SAMM memulakan sesuatu yang boleh mencetuskan penggulingan kerajaan.


Tarikh 31 Disember 2013, waktunya tengah malam, telah dipilih untuk tujuan tersebut. Kempen-kempen subversif telah pun dimulakan di Internet, khususnya di Facebook. SAMM walaupun menafikan bahawa mereka menjadi dalang, namun seruan agar anak-anak muda berkumpul di Dataran Merdeka dan memulakan rusuhan bagi menggulingkan Kerajaan, datang dari laman sesawang SAMM sendiri.

Ada ketegasan yang telah disuarakan oleh Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri berhubung cubaan menggulingkan kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat. Tindakan lemah-lembut seperti yang dilakukan oleh pihak berkuasa sebelum ini, mungkin telah banyak mendorong para penyokong Pakatan Rakyat yang kerap bercakap tentang KEBEBASAN BERSUARA dan KEBEBASAN BERKUMPUL untuk menjayakan rancangan mereka menggulingkan Kerajaan.

Begitu juga dengan kebanggaan mereka kononnya Pakatan Rakyat menguasai undi popular sebanyak 53% dan itu merupakan justifikasi kononnya mereka lebih berhak menjadi Kerajaan Persekutuan berbanding UMNO-BN yang hanya mendapat undi popular 47%.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Translate