Selasa, 24 Disember 2013

KELLIE'S CASTLE : PERANGKAP MAUT TERBUKA (HANYA SUPERMAN BERPELUANG SELAMAT)




Kellie's Castle di Batu Gajah, Perak, satu daripada ikon pelancongan negeri cukup dikenali. Istana berusia hampir 100 tahun ini dikunjungi purata di antara 7 dan 9 ribu pelancong dari dalam dan luar negara setiap bulan. Sebagai anak kelahiran Perak, tentunya saya berbangga apabila negeri terbabit dikenali di mata dunia. 



Pemilik istana terbengkalai itu, William Kellie Smith maut pada tahun 1926, akibat paru paru berair ketika berada di Lisbon, Portugal pada usia 56 tahun. Dianggarkan kira-kira 70 buruh binaan dibawa dari Madras, India, terkorban di sini akibat jangkitan selesema Spanish sewaktu membina Kellie's Castle. Tidak hairan, jika kini istana separuh siap itu terus diselubungi pelbagai misteri dan diiktiraf oleh pengkaji kes paranormal dunia sebagai lokasi paling berpuaka di Malaysia.

Perhatikan istana ini, berseni bina indah.  



Manara Kellie's Castle setinggi 6 tingkat dengan permukaan mendatar tentunya menarik perhatian pengunjung, golongan dewasa, remaja serta kanak-kanak.

Justeru selain daripada memasuki 14 bilik dan ruang di istana ini, ramai naik ke bahagian bumbung untuk menikmati pemandangan di sekitar dari lokasi tinggi. Tidak kurang juga mengabadikan gambar di tempat sama. Sebilangan pengunjung gembira melompat setinggi mungkin untuk merakamkan gambar kenangan.

Pada awalnya, tatkala berkunjung ke bangunan berusia hampir 1 abad itu, saya hanya berdiri berhampiran Kellas House di bawah, memerhati.



Saya dapati, sebilangan pengunjung tanpa teragak-agak membawa anak kecil ke atas bumbung dan berdiri begitu hampir dengan bahagian tepi bumbung. Ketinggian struktur itu dianggarkan kira-kira 20 meter dari paras tanah. Mengapakah mengambil risiko memperjudikan nyawa sendiri dan insan tersayang?


Sekiranya angin bertiup kencang, mengikut hukum graviti, ayah dan bayi itu berkebarangkalian melayang dan terjatuh. Kita semua tahu, malang tidak berbau. Jika berlaku, nyawa tidak mampu dibeli seperti membeli tiket RM5 untuk meneroka Kellie's Castle.

Melihatkan ramai pelancong berdiri di atas bumbung istana, saya mengatur langkah menaiki tangga untuk meninjau dari dekat kawasan bumbung terbabit. 






Saya dapati, tiada pagar atau sebarang bentuk hadangan bagi menyekat pengunjung bergerak terlalu hampir ke tepi bumbung sekaligus membahayakan nyawa mereka. Papan tanda amaran juga tidak kelihatan. 




Hemat saya, hanya Superman berpeluang menyelamatkan diri seandainya tergelincir dan jatuh pada ketinggian terbabit. Manusia biasa akan maut, bakal berkecai tengkorak kepala atau tulang patah riuk jika ditakdirkan masih bernyawa-nyawa ikan.



Adakah Kementerian Pelancongan Malaysia dan kerajaan negeri Perak sedang menunggu insiden meragut nyawa berlaku di Kellie's Castle, terngadah lalu akan membina pagar bagi memastikan keselamatan pelancong?

Nampaknya setakat ini, begitulah. Perangkap maut terbuka itu masih setia menunggu mangsa pertama.

Pandangan saya, silalah melawat Kellie's Castle tetapi elakkan daripada naik ke bumbung kerana nyawa kita terlalu berharga. Jangan terlalu taksub untuk mati katak. Jika katak terjatuh, pada ketinggian sama, belum tentu reptilia itu mampu bebas melompat lagi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Translate