Isnin, 28 Oktober 2013



KUALA LUMPUR – Pihak yang berkenaan dinasihatkan agar memadam imej atau video tragedi tembak pegawai bank di Subang Jaya dalam satu kejadian rompakan minggu lalu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, imej dan video yang dipaparkan bersama perkataan tertentu oleh sesetengah pihak adalah bertentangan dengan etika.
“Semua pihak perlu memahami situasi yang dihadapi oleh keluarga mangsa. Cuba bayangkan kalau ia berlaku kepada diri dan keluarga mereka sendiri.
“Malah, ada gambar yang menyebabkan fikiran kita terganggu dan kita mesti faham apa perasaan keluarga mereka yang menjadi mangsa,” katanya.
Dalam masa yang sama katanya, adalah tidak wajar untuk masyarakat terus menyebarkan gambar dan video seumpama itu terutamanya di laman sosial.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Malaysian Data Centre Alliance (MDCA) pertama bagi menjadikan negara ini sebagai hab pusat data serantau.
Menurut Shabery, rakyat harus pandai menilai baik buruk dan kesan daripada perbuatan terbabit.
“Sesiapa yang melakukan perkara itu sebenarnya menggalakkan orang lain melakukan perkara sama pada diri mereka sendiri,” tegas beliau.
Sebelum ini, pihak polis menggesa orang ramai agar menghentikan tindakan mengedar imej video terbabit di media sosial.
Polis kini giat memburu suspek yang menembak seorang pegawai bank, Norazita Abu Talib sebelum melarikan wang berjumlah RM450,000 daripada bank terbabit di USJ Sentral, Subang Jaya pada Rabu lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Translate