Selasa, 29 Oktober 2013



Ipoh bakal bergelar Bandar Warisan Bijih Timah menerusi pelaksanaan lapan projek utama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di bawah draf Rancangan Kawasan Khas Pekan Ipoh tidak lama lagi.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, lapan projek utama yang akan dilaksanakan secara berfasa-fasa itu sehingga menjelang tahun 2029 melibatkan perbelanjaan berjumlah RM12 bilion.
Katanya, perancangan mewujudkan Ipoh sebagai Bandar Warisan Bijih Timah terkandung dalam salah satu projek utama berkenaan iaitu pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan warisan. 
Roshidi berkata, tujuh lagi projek ialah pemiliharaan dan pembangunan kawasan warisan Lorong Panglima dan Jalan Bijih Timah, pembangunan lingkaran hijau Sungai Kinta.
Rangkaian Jejak Warisan Sungai Kinta, Pasar Lama, Gerbang Malam, menaik taraf kawasan Budaya Little India, pembangunan semula kawasan tanah Brownfield (tanah KTMB), kawasan tanah kosong Kampung Kucai dan kawasan usang Jalan Lim Boo Seng, Kampung Jawa.
Pengurusan lalu lintas, pembangunan rangkaian hijau dan imej bandar serta menaiktaraf infrastruktur dan utiliti Bandar.
"Lapan projek utama ini yang akan berjalan secara berfasa-fasa membabitkan kerjasama kerajaan negeri Perak, kerajaan Persekutuan dan pihak swasta,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penuh Majlis Bandaraya Ipoh hari ini.
Beliau yakin, menerusi persediaan dan perancangan tersusun pelaksaaan lapan projek utama berkenaan akan membolehkan pihak MBI melobi kepada UNESCO untuk menjadikan Ipoh sebagai Bandar Warisan Bijih Timah.
Menurut Roshidi, draf Rancangan Kawasan Khas Pekan Ipoh yang telah diluluskan oleh pihak majlis hari ini akan melalui satu lagi proses iaitu publisiti dan bantahan awam di mana ia akan dipamerkan pada November ini untuk mendapat maklum balas daripada pihak awam.
"Ini bagi memastikan pelan yang dihasilkan adalah pelan kita yang memenuhi hasrat kerajaan, warga kota dan juga menepati hasrat pihak lain yang berkepentingan bagi memajukan pusat bandar,’’ katanya.
Roshidi berkata, terbaru pihak pemaju perumahan dan pengusaha hotel telah memberi perhatian serius dalam aspek bijih timah dan hubungannya dengan pembangunan Ipoh.
Katanya, sebagai contoh, Hotel Riverfront telah mewujudkan sebuah muzium sejarah bijih timah, begitu juga syarikat pemaju Farlim iaitu Inn City telah memasukkan element pembangunan  bijih timah pada masa lampau sebagai salah satu daripada  elemen penting dalam pembangunan Tin City.
Beliau turut gembira apabila seorang usahawan, Datin Seri Sandra Lee iaitu isteri kepada Tan Sri Lee Hui Hean dari Kepong akan membangunkan dua bangunan di pekan lama Ipoh dengan menjadikannya sebagai muzium bijih timah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Translate