Selasa, 30 Ogos 2011


Muslimin dan muslimat



Muslimin
dan muslimat yang dirahmati Allah,
Selamat hari raya Aidilfitri diucapkan kepada
seluruh kaum muslimin dan muslimat. Kita baru sahaja melalui tarbiah Ramadhan
yang merupakan suatu proses dalam melahirkan hamba Allah yang bertaqwa. Antara
ciri hamba Allah yang bertaqwa sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Mas’ud ialah sentiasa mentaati
Allah dan tidak mengengkari perintahNya termasuk ketika menyambut hari raya.
Tanda taat marilah kita penuhi hari raya kita dengan amal ibadat disamping
menjauhi larangan Allah seperti membuka aurat, pergaulan bebas antara lelaki
dan perempuan, hiburan melampau dan sebagainya. Ciri hamba Allah yang taqwa
juga sentiasa mengingati Allah dan tidak melupaiNya. Buktikan diri kita sebagai
hamba Allah bukannya hamba Ramadhan iaitu jangan pada bulan Ramadhan sahaja
kita melawan hawa nafsu sedangkan bila menyambut hari raya maka kita menjadi
hamba kepada nafsu yang menyuruh kepada kejahatan. Ciri hamba Allah yang
bertaqwa seterusnya ialah sentiasa bersyukur kepada Allah dan tidak mengkufuri
nikmatNya. Tidakkah kita berasa malu menyambut hari raya dengan amalan maksiat
sedangkan hari raya adalah anugerah Allah. Ia umpama kita menyertai majlis
jemputan orang tetapi melakukan perkara yang tidak disukai oleh tuan rumah.
Sempena menyambut hari raya juga marilah kita sama-sama berdoa agar dapat
meraih tawaran Allah yang dijanjikan sepanjang Ramadhan baru lalu iaitu rahmat,
keampunan dosa dan dijauhkan daripada azab neraka. Kita tidak mahu termasuk
dalam golongan yang jauh daripada rahmat Allah sebagaimana yang diberitahu oleh
nabi Muhammad s.a.w iaitu golongan yang keluar daripada Ramadhan dalam keadaan
dosanya belum lagi diampuni oleh Allah. Ingatlah bahawa kita bukan mahu
menyambut hari raya di dunia sahaja sebaliknya apa yang lebih kita idamkan
ialah menyambut hari raya dalam Syurga Allah di akhirat nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Translate